Tuesday, 1 May 2012

Komen Dato' Dr. KPE terhadap kekalahan Datuk Lee Chong Wei di Terbuka India

Artikel Harian Metro - 1hb Mei 2012

Ramlan tidak bimbang

KEKALAHAN Datuk Lee Chong Wei di Terbuka India, kelmarin tidak membimbangkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz kerana beranggapan pemain nombor satu dunia itu belum cukup cergas untuk menghadapi perlawanan sengit.

Beliau yang menonton perlawanan akhir yang membabitkan Chong Wei dengan pemain Korea, Shon Wan Ho mengesahkan harapan pingat emas Olimpik negara itu kini bebas daripada masalah kecederaan bahu yang dialami di Seluruh England.

“Dia (Chong Wei) sudah bebas daripada kecederaan cuma belum cukup bersedia dari segi kecergasan perlawanan (match fitness),” kata Ramlan.

Katanya, Chong Wei sudah cukup kuat dari segi fizikal biarpun pemain itu baru kembali menyertai perlawanan kompetitif selepas berehat lebih sebulan.

“Ini kejohanan pertamanya selepas mengalami kecederaan, apa yang dicapai setakat ini adalah kemajuan. Kita perlu nilai dia dari segi intensiti sesuatu perlawanan dan berapa perlawanan dihadapinya.

“Apa yang saya lihat kemajuan dicapainya lebih baik berbanding di England, Mac lalu kerana kali ini dia lebih berkeyakinan dan berkemampuan untuk melakukan lebih daripada dua smash berturut-turut,” kata Ramlan.

Menurutnya, kekalahan itu tidak membimbangkan ISN kerana mereka mensasarkan Chong Wei akan mencapai kemuncak prestasi di Olimpik London, Julai hingga Ogos ini.

Dalam pada itu, jurulatih fizikal, Mohd Rosdi Abd Ghani berkata fizikal pemain kelahiran Pulau Pinang itu masih boleh diperkemaskan ketika latihan fizikal Chong Wei memasuki fasa akhir menjelang Olimpik.

“Sekarang kita memasuki fasa akhir latihan fizikal, jadi dari segi 'volume', bebanan akan ditingkatkan, begitu juga dengan intensiti latihan di gelanggang,” kata Rosdi.

Jurulatih fizikal dari ISN itu turut mengiringi Chong Wei ke India selepas pemain itu meminta pakar kecergasan itu mengikutnya ke setiap kejohanan dan Rosdi mendapati minda Chong Wei kini lebih terbuka.

“Dia memberi maklum balas dengan baik, apa yang dirasakan kurang dalam dirinya dari segi fizikal sehingga mempengaruhi permainan, dia akan beritahu dan kami saling berbincang.

“Malah saya juga menasihatkannya supaya tidak mengambil pusing dengan kekalahan ini kerana bagi saya, lebih baik dia tewas sekaranguntuk menyedarkannya yang dia juga sebenarnya tidak boleh hanya memberi fokus kepada Lin Dan dan memandang mudah lawan lain,” katanya.

3 comments: